DUA individu maut setelah kereta yang mereka naiki dihempap sebuah treler membawa bahan kimia dari arah bertentangan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam semalam, mangsa yang juga sahabat karib meninggal di tempat kejadian, mereka dipercayai dalam perjalanan untuk menjalani latihan industri di ibu negara.
Dua rakan karib maut setelah kereta yang mereka naiki dihempap sebuah treler membawa bahan kimia dari arah bertentangan di Kilometer 204.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara kira-kira 7.45 malam tadi.
"Mangsa dikenali sebagai Ahmad Daniel Ruzwan Iskandar Mohd Ali dan Muhammad Lukman Haqim Mosyazid, masing-masing berusia 19 tahun," kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguat Kuasa Trafik Melaka, Supt Hassan Basri Yahya dipetik Bernama.
Difahamkan, dalam kejadian itu enam kenderaan terbabit dan enam mangsa lain mengalami kecederaan, iaitu dua dewasa dan tiga orang kanak-kanak, selain pemandu treler yang mengalami kecederaan ringan.
Menurut Hassan Basri treler terbabit - yang datang dari arah Seremban - terbabas sebelum memasuki lorong bertentangan lalu merempuh lima kenderaan.
Beliau berkata pihak bomba terpaksa menguna dua kren bagi memindahkan treler yang menghempap kereta jenis Myvi, sebelum memotong kereta tersebut untuk mengeluarkan mangsa.
"Pemandu treler terbabit akan direman selain ujian saringan air kencing dan sampel darah turut diambil," katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
0 Comments