Lemas: Bomba kenal pasti enam kawasan berisiko


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti enam kawasan berisiko mati lemas di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Memetik laporan Bernama, Mohammad Hamdan berkata, ia membabitkan lima kawasan sungai di Kedah, Perak dan Sabah serta satu kawasan air terjun di Terengganu.

Sehingga Oktober lepas katanya, 14 kes kematian akibat lemas telah direkodkan di kawasan terbabit.

“Kadar kematian akibat lemas di seluruh negara setiap tahun adalah tiga atau empat kali ganda berbanding mangsa kebakaran sejak 2018.

“Kebanyakan mangsa lemas ini merupakan pelajar sekolah dan kebiasaannya mangsa adalah orang luar dan bukan penduduk tempatan di kawasan itu,” katanya selepas Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa Universiti Awam 2019 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Bagi 2016 hingga 2018, JBPM merekodkan sebanyak 15 kawasan dikenal pasti berisiko tinggi mati lemas.

Ia membabitkan lima kawasan sungai di Sabah, Selangor dan Kelantan, empat kawasan air terjun di Selangor, Terengganu dan Pahang, tiga kawasan pantai di Kelantan dan Pulau Pinang dan tiga kawasan tasik, lombong dan empangan di Selangor, dengan kekerapan insiden mati lemas lebih daripada lima mangsa.

Sebanyak 39 kawasan pula dikenal pasti sebagai kawasan berisiko mati lemas membabitkan sembilan kawasan sungai di Kedah, Negeri Sembilan, Sarawak dan Terengganu.

Lima kawasan air terjun di Terengganu, Selangor, Pahang dan Perak, lima kawasan tasik, lombong, empangan dan jambatan di Johor, Kuala Lumpur, Sarawak dan Perak serta 20 kawasan pantai di Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Kelantan, Perak, Sabah, Selangor dan Pahang, bagi tempoh 2016 hingga 2018.

Kawasan-kawasan itu membabitkan kekerapan insiden mati lemas kurang daripada lima mangsa.
 

Post a Comment

0 Comments