PASUKAN Respol Honda mahu merangkul gelaran pasukan juara dunia pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar Sepang pada hujung minggu ini.
Tongak utama pasukan itu, Marc Marquez berkata pasukannya kini berada di saat yang baik dan semua perancangan berjalan lancar dengan mengekalkan sasaran menamatkan semua perlumbaan dengan kedudukan podium.
Tambahnya, peluang Repsol Honda merampas gelaran itu di Sepang sangat cerah, namun faktor cuaca pada hari perlumbaan tegasnya bakal memainkan peranan penting.
”Kita akan berusaha keras sepanjang hujung minggu ini untuk memburu satu lagi kejayaan serta memberi tekanan kepada pencabar kami. Inilah cara terbaik untuk mengakhiri saingan musim ini,” katanya pada sidang media pada Khamis.
Ketika ini, Ducati menjadi pendahulu dalam ketegori pengeluar apabila mengutip 409 mata. Repsol Honda cuma ketinggalan satu mata dibelakang pasukan Ducati.
Sementara itu, Marquez yang dinobatkan sebagai juara dunia pada perlumbaan di Litar Buriram, Thailand baru-baru ini juga mempunyai peluang bagi mencatatkan rekod baharu pungutan mata tertinggi dalam semusim.
Mengumpul 375 mata setakat ini, Marquez mampu mengatasi rekod pungutan mata tertinggi semusim yang dipegang oleh rakan sepasukan, Jorge Lorenzo dengan 383 mata dalam 18 pusingan musim 2010 ketika bersama pasukan Yamaha.
"Memang saya boleh mengutip banyak mata dalam perlumbaan 19 pusingan musim ini tetapi ia rekod yang kita akan ingati jika pelumba lain dapat mengulanginya.....oleh itu saya tidak peduli dengan rekod ini.
“Saya akan mengekalkan strategi yang sama dengan sasaran untuk naik ke podium tetapi sudah semestinya sasaran sekarang saya adalah untuk menang," tambah pelumba berusia 26 tahun itu.
Sebagai rekod, selepas 17 pusingan musim ini Marquez telah memenangi 11 perlumbaan, 10 kedudukan petak utama dan 16 podium.