Umno takut kalah - Dr Mahathir


UMNO tidak meletakkan calon mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kerana takut kalah, kata Tun Dr Mahathir Mohammad.

Perdana menteri itu berkata begitu ketika ditanya mengenai tindakan mengejut BN meletak calon MCA, bagi merebut kerusi kawasan itu walaupun Umno sebelum ini disebut-sebut akan menguji kemampuan mereka di kawasan tersebut.

“UMNO takut. Sebab saya tahu kalau dia letak (calon UMNO mewakili BN), akan kalah.

"Kita yakin kita boleh menang walaupun dia letak sesiapa. Kalau letak UMNO lebih baik, tapi dia letak MCA (sebagai wakil BN),” kata Dr Mahathir sempena lawatan kerja sehari ke Johor semalam.

BN mengumumkan bekas penyandang kawasan itu, Wee Weck Seng, 55 berdepan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Karmaine Sardini, 66.

Karmaine, Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai merupakan anak seorang tokoh agama tempatan. Beliau merupakan Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Karmaine, bekas Imam Masjid Al-Muttaqin di Johor Bahru bertanding bagi kerusi Parlimen Pontian namun tewas kepada Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi.

Sementara itu, Dr Mahathir yakin Karmaine akan memberi kemenangan dan mengekalkan kerusi tersebut buat HARAPAN. 

“Saya percaya, calon ini boleh menunaikan janji-janjinya. Beliau dikenali di kawasan ini dan akan mendapat sokongan daripada kerajaan (untuk menunaikan janji).

"Saya berasa gembira berada di sini. Kita akan berusaha untuk memastikan beliau akan berjaya. Itulah harapan kita,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh.

Terdahulu, Ahli UMNO dikatakan memboikot majlis pengumuman calon .

Berita Harian dalam tinjuan mereka mendapati hampir 90 peratus kehadiran hadirin di Rumah UMNO Pontian sejak jam 7.30 malam adalah dalam kalangan ahli MCA.

Portal itu mendakwa   hampir keseluruhan Peti Daerah Mengundi (PDM) serta jentera BN di Parlimen  yang dikuatkan ahli UMNO   kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan yang tidak mendengar hasrat serta suara hati majoriti pengundi.

Post a Comment

0 Comments