Posmen maut angkara lori mengundur


SEORANG
kakitangan POS Malaysia maut selepas terlibat kemalangan dengan lori muatan besi di Kilometer 6.7, Kerteh-Kampung Chabang di Kemaman siang tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Mohd Hairi Abdullah, 41, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss mengalami kecederaan parah di kepala manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah lori berkenaan masuk ke laluan motosikal.

"Semasa tiba di lokasi, lori yang penuh dengan muatan besi itu dikatakan sedang mengundur secara melintang dari bahu jalan dan masuk ke laluan motosikal.

"Motosikal dipandu mangsa dikatakan tidak sempat mengelak sebelum merempuh muatan besi di belakang lori tersebut dan terbabas ke sebelah kiri jalan," katanya dipetik laporan sinar.

Mohammad Hairi yang dipercayai dalam perjalanan menghala ke Kerteh maut ditempat kejadian.

Sementara itu difahamkan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.