SEORANG lelaki yang memimpin kumpulan tarekat di Indonesia ditahan pihak berkuasa republik itu kerana menjual ‘kad syurga’ kepada para pengikutnya.
Lebih aneh, lelaki itu, Syech Yusuf Puang La’lang yang menyebar ajaran Tarekat Ta’jil Khalwatiyah di Gowa, Sulawesi Selatan turut mendakwa mampu membuatkan dosa pengikutnya diampunkan yang sekaligus membolehkan mereka langsung masuk ke syurga.
Yusuf, 74, juga turut didakwa melakukan pemerdayaan dan mendoktrin para pengikutnya.
“Suspek menjual kad syurga atau disebut kad Wifiq kepada jemaahnya, dengan mahar Rp10,000 (kira-kira RM3) sampai Rp50,000 (kira-kira RM15), pengikutnya juga diharuskan menyumbang zakat pada suspek.
“Ajarannya ini hampir seluruh Indonesia hingga luar negara” kata Ketua polis daerah Gowa, Ajun Komisaris Besar (Ajun Pesuruhjaya Kanan) Shinto Silitonga yang dipetik Islamidia.com.
Yusuf turut dipercayai telah menyebar ajaran dibawanya ke pelbagai daerah di Sulawesi Selatan, seperti Gowa, Takalar, Pangkep hingglah ke Malaysia.
Terdahulu, pada September, sebanyak 138 bahan bukti disita selepas penggeledehan dilakukan di kediaman Yusuf di Desa Timbuseng, Gowa.
Polis juga merampas 21 barang bukti yang dikumpul oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) daerah Gowa dari bekas pengikut Yusuf.
Polis turut menyita 80 kad pelaris, bersama barang-barang bukti yang lain, termasuk wang tunai, keris, buku, kitab terjemahan, dan risalah ilmu seperti ilmu kebal dan ilmu kaya.
Sehingga kini, Yusuf didakwa telah menjual 317 kad syurga kepada pengikutnya.
Dia kini berdepan beberapa dakwaan jenayah, antaranya penghinaan agama, penipuan, pencacatan nikah, talak dan rujuk, serta kesalahan pencucian wang.


0 Comments