PM beri gambaran akan buat rombakan kabinet



PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan kemungkinan akan melakukan rombakan kabinet.

Hasrat itu dinyatakan Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Kuala Lumpur malam tadi.

Jelas dr Mahathir bagaimanapun, rombakan itu jika dilakukan bukan dalam tempoh terdekat.

“(Ia akan dibuat) selepas kita mengkaji pencapaian dan kebolehan menteri-menteri yang ada sekarang ini dan selepas itu barulah kita bincang tentang kemungkinan mengadakan rombakan kabinet ini,” katanya.

Terdahulu, ada gesaan supaya rombakan kabinet dilakukan.

Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, perdana menteri itu perlu berani membuat rombakan Kabinet sekiranya mahu mendapatkan semula sokongan rakyat selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Sementara itu, Dr Mahathir ketika mnenyentuh kekalahan HARAPAN di PRK itu berkata ia mungkin antara lain “kerana parti kita baharu, belum cukup matang lagi, belum susun parti dengan cukup lengkap di Tanjung Piai dan tempat-tempat lain”.

Menurutnya, turut ditimbulkan di Tanjung Piai ialah isu kos sara hidup yang tinggi, keadaan ekonomi, bantuan kepada rakyat dan sebagainya.

“Akhirnya kita berpendapat ada perlunya kita mengadakan rombakan kabinet.

“Kekangannya ialah walaupun saya perdana menteri, saya perlu memberi pertimbangan kepada parti-parti komponen saya tak boleh dengan begitu mudah menukar atau menggugurkan mana-mana pihak.

“Sebab itu ia akan mengambil masa sedikit,” tambah beliau.

Post a Comment

0 Comments