RAKYAT Malaysia bakal kehilangan badak sumbu terakhir di Malaysia.
Dinamakan sebagai Iman, mamalia itu kini berada dalam keadaan kritikal susulan kanser dihidapinya.
Dr Zainal Zahari Zainuddin yang mengetuai pasukan doktor yang merawat Iman di Hutan Simpan Hidupan liar Tabin, Sabah mengesahkan tahap kesihatan badak betina itu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew pula dipetik berkata, masalah ketumbuhan pada uterus badak sumbu berkenaan yang dikesan sejak Mac 2014.
“Iman mempunyai tumor di dalam uterusnya di mana kita kesan lima tahun lalu sekitar Mac.
“Pihak Jabatan Vertinar telah berusaha membuang pembesaran ketumbuhan itu dan pembedahan dilakukan, tetapi ia tetap berbahaya kerana menyebabkan ia banyak kehilangan darah,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Rabu.
Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, Iman dijangkakan mempunyai beberapa minggu lagi untuk hidup.
Beliau juga memberitahu kerajaan negeri akan mempercepatkan proses perundangan dengan kerajaan Indonesia bagi melakukan prosedur persenyawaan in vitro fertilisation (IVF).
Katanya, langkah itu akan membabitkan proses mengekstrak telur Iman untuk disenyawakan dengan sperma badak sumbu Sumatera di Indonesia.
Untuk rekod, badak betina itu merupakan satu-satunya spesis badak sumbu Sumatera yang masih hidup di Malaysia selepas pasangannya yang dikenali sebagai Tam mati pada 27 Mei lalu, akibat uzur dan kegagalan organ dalaman.
0 Comments