Piala Malaysia: Johor cuti peristiwa


RAKYAT Johor hari ini diberi pelepasan cuti khas peristiwa hari ini (Ahad) sempena meraikan kejayaan pasukan itu memenangi Piala Malaysia malam tadi.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani sebagai sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Pemberian cuti peristiwa ini juga dibuat sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong pasukan JDT yang telah memberikan sepenuh komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan JDT dalam mengharumkan nama negeri ini.

“Keputusan pengisytiharan cuti juga adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369),” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) membenamkan pasukan kedah dengan keputusan 3-0 pada aksi akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kejayaan itu mengulangi kejayaan sama pasukan itu pada 2017.

Dalam perlawanan yang disaksikan 85,420 penonton itu JDT tidak mempunyai masalah untuk mendominasi permainan dengan deretan peluang dicipta sepanjang 90 minit perlawanan.

Gol Harimau Selatan masing-masing dijaringkan penyerang import, Leandro Velasquez, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad.

Kedah cuba bangkit mencari gol penyamaan di babak pertama, namun  tersasar.  Bersambung separuh masa kedua, Kedah terus gagal mencari rentak.