AHLI PARLIMEN pembangkang dari PAS yang menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir digesa menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN).
Pengerusi HARAPAN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, yang memberi jaminan 18 Ahli Parlimennya sepakat memberi undi percaya kepada Dr Mahathir jika ia dikemukakan di Parlimen.
Melihat kenyataan Abdul Hadi itu ada maksud tersembunyi, Aminuddin mengingatkan pemimpin pembangkang itu supaya tidak menjadi batu api.
"Terpulang kepada hak individu untuk menyokong sesiapa sahaja.
“Kalau benar menyokong, masuklah dalam Pakatan Harapan, jangan pula jadi batu api,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya adakah sokongan tersebut akan memberi kesan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri, Aminuddin menegaskan bahawa perkara itu tidak akan berubah.
Katanya, hal peralihan kuasa telah pun dibincang sejak awal lagi semasa manifesto dibuat, perjanjian itu tegasnya perlu ditepati.
“Peralihan kuasa itu telah dibincang sejak awal lagi, semasa manifesto dibuat, jadi tidak akan ada masalah sepatutnya, kita harus tepati janji, ikut peraturan ditetapkan.
"Parti lain jangan jadi batu api,” katanya lagi.
0 Comments