RAYUAN bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman terhadap keputusan penolakan samannya dalam mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah ditolak.
Mahkamah Rayuan yang bersidang di Kota Kinabalu hari ini menolak rayuan Musa Aman itu dengan kos.
Hakim Kamardin Hashim membacakan keputusan yang dibuat panel dianggotai tiga hakim mengarahkan Musa Aman membayar RM20,000 kepada responden pertama Ketua Menteri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan RM50,000 kepada Mohd Shafie, yang dinamakan sebagai responden kedua.
Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Peguam mewakili Juhar dan Mohd Shafie semasa prosiding memberitahu mahkamah, rayuan dikemuka Musa Aman itu adalah akademik kerana Mohd Shafie mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)
Beliau memetik Perkara 6 (3) Perlembagaan Sabah bahawa "Ketua Negeri Sabah akan melantik seorang ahli Dewan Undangan Negeri, yang mempunyai majoriti dalam DUN".
"Jadi, ketua menteri memerlukan majoriti. Perayu (Musa) tidak akan mencapai angka itu.
"Dia (Musa) tidak mempunyai angka itu, justeru dia tidak akan berkesan," kata Douglas Lind.
Peguam Negara Sabah Zaleha Rose Pandin turut menegaskan bahawa pelantikan ketua menteri adalah hak prerogratif ketua negeri Sabah.
Anantham memberitahu mahkamah bahawa kes yang melibatkan anak guamnya tidak termasuk dalam Perkara 7 (1) Perlembagaan Sabah, yang menyatakan keadaan apabila seorang ketua menteri tidak lagi mendapat keyakinan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.