ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) hari ini membuat tindakan mengejutkan apabila melucutkan jawatan pengerusi tetapnya, Mizan Adli Mohd Noor.
Turut digugurkan adalah timbalan pengerusi tetap Mohd Ramly Ahmad.
Perkembangan terkini itu dipercayai ada kaitan dengan desas-desus yang mendakwa kumpulan tertentu mahu mencetuskan kekecohan pada Kongres AMK yang bakal diadakan minggu hadapan di Melaka.
BACA: Kongres AMK minggu depan bakal dikawal ketat
Walaupun pengerusi tetap dan timbalannya tidak mempunyai peranan utama dalam operasi harian parti, namun mereka adalah tokoh penting semasa kongres kerana akan mempengerusikan mesyuarat himpunan itu nanti.
Surat yang memaklumkan pemecatan kepada kedua-dua mereka itu menyatakan terdapat beberapa peratusan telah tidak dipatuhi antaranya berkaitan isu pemilihan mereka yang dibuat dalam Kongres Nasional Tahunan AMK 2018.
“Jumlah perwakilan yang layak mengundi dalam kongres nasional itu adalah seramai 270 orang.
“Namun jumlah keseluruhan undi yang telah dikira untuk pemilihan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap adalah sebanyak 400 undi dan 397 undi,” kata surat ditandatangani pengarah kongres nasional AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab itu.
Surat itu juga menimbulkan kelayakan umur mereka yang dianggap sebagai anggota AMK.
Oleh itu, kata Ahmad Syukri, pihak sayap parti itu memutuskan untuk mengadakan pemilihan baru untuk jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap.
Beliau menambah bahawa keputusan itu juga telah disampaikan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN yang turut menerima tindakan berkenaan.
0 Comments