KAKITANGAN syarikat penghantaran yang parah ditikam rakan sekerjanya dalam pergaduhan di Balik Pulau pada Selasa lelau meninggal dunia hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Jafri Mohd Zain berkata mangsa, Aidil Asran Omar, 24 tahun meninggal dunia pada jam 11.15 pagi tadi di Hospital Pulau Pinang (HPP) setelah empat hari bertarung nyawa.
Mangsa yang parah ditikam sebelum ini menjalani pembedahan usus dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP. Aidil sebelum ini mengalami kecederaan parah di rusuk kiri, dada dan tangan.
Susulan itu, kata Jafri polis telah mengklasifikasikan semula kes dari seksyen 326 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Siasatan awal sebelum ini mendapati suspek menyimpan rasa berang kerana mangsa dan beberapa pekerja didakwa tidak menepati masa, suspek dikatakan turut menyimpan dendam kerana terpaksa bekerja sendirian ketika lori tiba untuk mengambil barangan penghantaran.
Sementara itu tambah Jafri, pihaknya akan memohon untuk melanjutkan perintah reman terhadap suspek berusia 27 tahun itu yang mempunyai rekod lampau berkaitan dua kes dadah dan satu kes jenayah .
"Pihak kita akan memohon untuk melanjutkan tempoh tahanan reman susulan kematian mangsa hari ini," katanya.
0 Comments