PRESIDEN KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan ahli parti itu mengukuhkan kekuatan parti dan bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).
Bercakap pada majlis perasmian Konvensyen KEADILAN Sarawak di Miri siang tadi, Anwar menegaskan bahawa semua ahli parti itu juga berkewajipan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.
"Beri tumpuan kepada PRN12 untuk kemenangan KEADILAN dan HARAPAN," katanya.
Mengulas lanjut Anwar berkata, antara yang perlu dilakukan segera oleh pimpinan negeri ialah mengadakan mesyuarat melibatkan semua cabang bagi membincangan persediaan PRN12 termasuk proses pemilihan calon-calon.
Terdahulu, Anwar memberikan lampu hijau untuk konvensyen itu dijalankan atas gesaan beberapa pemimpin negeri itu setelah Pengerusi KEADILAN negeri, baru Bian mengumumkan ia dibatalkan.
Ahli parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng dalam rayuan sebelum ini berkata, selain faktor persediaan telah dijalankan, konvensyen itu turut penting bagi menentukan hala tuju parti dalam menghadapi PRN yang bakal diadakan.
Sementara itu media melaporkan lebih 1,000 perwakilan hadir pada kovensyen yang diadakan, namun pengerusi negeri, Baru Bian dan beberapa pemimpin yang cenderung kepada menteri kerja Raya itu turut dilapor tidak hadir.
Mereka antaranya Pengarah Pilihan Raya Negeri, See Chee How dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar ketika ditanyakan mengenai isu dalaman parti di negeri itu berkata, beliau akan memastikan ia dapat diselesaikan.
Beliau menegaskan, segala masalah yang melanda parti itu akan dibincangkan dengan semua pihak yang terlibat.
"Kita akan bincang dengan semua ikut parti proses ikut MPP (Majlis Pimpinan Pusat),
saya boleh bincang dengan semua, tidak ada masalah," katanya ketika ditemui pemberita sebelum bergegas ke Lapangan Terbang Miri untuk kembali ke Kuala Lumpur.
0 Comments