KAEDAH baru dalam menarik kehadiran pelancong antarabangsa ke negara ini perlu diusaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah membuat gesaan itu susulan penurunan penarafan keselamatan perkhidmatan udara Malaysia ke ketegori 2 seperti diumumkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) baru-baru ini.
Tambah Dr Wan Azizah, kaedah baru itu haruslah menfokuskan potensi pelancong dari pasaran yang tidak menerima impak langsung dari penurunan berkenaan.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya melihat ini sebagai cabaran kepada kita khususnya kepada kementerian untuk mencari kaedah-kaedah baru dalam industri pelancongan.
"Kempen kempen promosi harus dipertingkatkan dengan mengambil kira trend terkini seperti digital marketing, penggunaan media sosial dan aplikasi digital yang lebih bersasar dan pakej yang bertumpu kepada pasaran khusus yang mampu membawa masuk pelancong berpendapatan tinggi ke negara ini," katanya dalam satu program di Ipoh.
Ketika ditanyakan berkenaan tindakan FAA, Dr Wan Azizah mengakui ia sesuatu yang mengejutkan.
Ia turut dibimbangi akan mengganggu sasaran negara terhadap kedatangan pelancong antarabangsa seramai 30 juta orang, tahun hadapan.
Beliau berkata, pelancong antarabangsa yang datang ke Malaysia lebih tertarik dengan seni budaya, jati diri ketimuran, warisan berzaman serta kekayaan flora dan fauna dimiliki negara.
Justeru jelasnya, semua itu perlu dimanfaatkan dan digunakan sebagai aset dalam perancangan membawa masuk lebih ramai pelancong baru ke negara ini.
0 Comments