NAJIB Razak dijangka berdepan pertuduhan jenayah meminda laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama-sama bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, hari ini.
Namun sama ada prosiding akan dijalankan bergantung kepada keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, ia susulan permohonN Najib supaya tarikh perbicaraan bagi tuduhan itu dipinda kepada 13 Jan 2020.
Memetik Malaysiakini, Mohamed Zaini dilapor telah mengarahkan semua pihak supaya bersedia dengan perbicaraan sekiranya permohonan Najib ditolak.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 18 hingga 29 Nov tahun ini dan 13 hingga 17 Jan 2020 bagi perbicaraan bagi tuduhan jenayah itu.
Najib menghadapi pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.
Beliau dituduh sebagai seorang pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.
Bekas Presiden Umno itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya dalam pasukan pendakwaan, Ahmad Akram Gharib, berkata pendakwaan telahpun bersedia dengan tiga hingga lima saksi rasmi sekiranya hakim membuat keputusan untuk memulakan perbicaraan pada Isnin.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan, yang turut dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram, Rozaliana Zakaria, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Hazmida Harris Lee, Nadia Zulkefli, Tan Song Yan, Fatimah Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa Zainal Abidin.
0 Comments