Bekas menteri Cyprus gesa pasport Jho Low dibatalkan


CYPRUS
dilapor mahu mengkaji semula Pelan Pelaburan mereka yang telah membantu  Jho Low mendapat pasport negara itu pada 2015.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Cyprus Constantinos Petrides melalui Twitter berkata kerajaan akan menyiasat isu yang dibangkitkan dalam laporan akhbar negara itu, Politis, bahawa Jho Low mendapat status kewarganegaraan walaupun pemeriksaan latar belakang menimbulkan beberapa amaran (red flag).

Laporan muka depan akhbar Cyprus, Politis baru-baru ini mendakwa Jho Low menerima sokongan Ketua Biskop Cyprus Chrysostomos II untuk mendapatkan pasport dari negara kepulauan Mediterranean itu.

Menurut laporan itu, ketua gereja Kristian Ortodoks itu dalam sepucuk surat kepada menteri hal ehwal dalam negeri ketika itu Socrates Hasicos bertarikh 1 September 2015, menyatakan permintaannya agar Jho Low diberikan status warga naturalisasi.

Jho Low turut dilapor membayar khidmat broker bagi mendapatkan dokumen perjalanan tersebut.

Individu didakwa rakan subahat dalam skandal kewangan 1Malaysia Developmet Berhada (1MDB) itu diberi status warganegara pada 18 September 2015, selepas bertemu Hasicos dan membeli sebuah villa berharga lima juta euro di negara itu bagi memenuhi syarat permohonannya.

Terdahulu, pemeriksaan latar belakang bagi permohonan Jho Low membangkitkan membangkitkan kebimbangan terhadap status Low sebagai 'politically exposed person' (PEP) serta dakwaan kegiatan pengubahan wang haram, penipuan dan pelanggaran undang-undang.

PEP ditakrifkan sebagai individu yang diberi kepercayaan awam dan lebih berkemungkinan untuk terlibat dengan rasuah dan korupsi ekoran kedudukannya itu.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan dari 1MDB.

Menteri Dalam Negeri Cyprus  ketika Jho Low diberikan status kewarganegaraan itu, Socrates Hasicos menggesa status itu ditarik balik jika terbukti lelaki kelahiran Pulau Pinang itu melakukan jenayah.

Post a Comment

0 Comments