Impian 20 tahun skuad hoki M'sia lebur


SKUAD hoki negara gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penantian 20 tahun itu terkubur apabila skuad kebangsaan tewas 5-2 kepada Great Britain pada aksi play-off kedua kelayakan terakhir di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London, lewat malam tadi.

Pada perlawanan itu, Malaysia dikejutkan dengan keputusan pengadil menghadiahkan pukulan penalti kepada Great Britain.

Skuad kendalian ketua jurulatih Roelant Oltmans meminta rujukan video bagi menyelamatkan kedudukan Malaysia, namun keputusan berpihak kepada Great Britain.

Kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Olimpik adalah pada temasya Sydney 2000, yang mana pasukan kebangsaan menamatkan saingan di tempat ke-11 dalam kalangan 12 negara yang bertanding.

Alan Forsyth menyempurnakan pukulan penalti itu dengan satu tolakan yang cukup baik sehingga mengelirukan penjaga gol negara, S.Kumar pada minit kesembilan.

Dua minit kemudian, Sam Ward menggandakan gol sebelum pemain tengah Mohd Fitri Saari merapatkan jurang dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Bagaimanapun, Ward sekali menambah derita skuad negara dengan menyumbat gol ketiga Great Britain menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31, lapor Bernama.

Malaysia seterusnya memproleh pukulan sudut penalti kedua selepas penyerang negara, Faizal Saari dikasari sehingga terjatuh pada minit ke-32 namun ia gagal diterjemahkan kepada gol.

Sebelum perlawanan suku masa ketiga berakhir, Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya merapatkan jurang kedudukan pada minit ke-40.

Malaysia Tigers, yang tertekan untuk memburu gol, pada suku terakhir perlawanan, dikejutkan dengan gol padang Forsyth pada minit ke-56 sebelum pemain itu melengkapkan jaringan hatrik peribadinya dengan penyudahan pukulan penalti pada minit berikutnya.

Great Britain layak ke Tokyo dengan agregat 9-3 selepas membenam Malaysian Tigers 4-1 pada perlawanan timbal balik pertama pada Sabtu.

Post a Comment

0 Comments