Air Asia terima pesawat generasi baharu


SYARIKAT
penerbangan tambang murah, AirAsia secara rasmi memasuki era baru apabila menerima ketibaan pesawat Airbus A321neo pertamanya.

Pada Rabu, syarikat itu dilapor menerima pesawat jenis itu dengan nombor pendaftaran 9M-VAA.

Ia disambut oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan pihak pengurusan AirAsia pada satu acara khas yang diadakan di Sepang Aircraft Engineering.

Sebagai rekod,  Pesawat sulung itu merupakan sebahagia daripada 353 pesawat A321neo yang ditempah oleh Kumpulan AirAsia.

Ia bagi menggantikan pesawat A320 dan A320neo sedia ada secara berperingkat di seluruh rangkaiannya meliputi Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun.

Dengan 236 tempat duduk - peningkatan kapasiti sebanyak 27 peratus berbanding pesawat A320 (180 tempat duduk) dan A320neo (186 tempat duduk) - A321neo akan membolehkan AirAsia memenuhi permintaan lebih tinggi di seluruh rangkaiannya dan  dijangka membuka peluang untuk meneroka destinasi baharu.

Ia  merupakan model terlaris daripada keluarga Airbus A320 yang menggabungkan teknologi terkini, seperti enjin generasi baharu dan 'sharklets' yang mampu menjimatkan penggunaan bahan api.

Sementara itu, Tony berkata, pihaknya berbangga untuk mengalu-alukan pesawat A321neo pertama yang akan menjadi tulang belakang baharu bagi operasi masa hadapan kumpulan tersebut.

"Pesawat baharu ini akan beroperasi ke laluan popular, menawarkan peluang pertumbuhan di pasaran baharu serta menambah kapasiti di pasaran sedia ada, terutamanya di mana terdapat kekangan pengembangan berikutan infrastruktur dan ketersediaan slot terhad," ujarnya.

Pesawat Airbus A321neo kedua dijangka tiba bulan depan, sementara yang ketiga dan keempat, awal tahun depan.

Post a Comment

0 Comments