Anwar selar usaha rebut kuasa ikut 'pintu belakang'


WALAUPUN
isu peralihan kuasa perdana menteri antara Tun Dr Mahathir Mohammed dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disepakati secara bersama dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) namun ia tidak menghalang individu berminat 'mencuba nasib'.

Bagaimanapun tegas Anwar, usaha itu perlu dilakukan dengan cara betul dan bukan melalui pakatan 'pintu belakang'

Dalam satu sidang media di Parlimen minggu ini, Presiden KEADILAN itu berkata, cubaan merebut jawatan itu yang dibuat menerusi saluran tidak jujur akhirnya akan mengalih tumpuan dan tanggungjawab sepatutnya pemimpin dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

“Sebenarnya saya tak fikir ini satu masalah pun. Saya tidak juga halang sesiapa lain yang berminat, tapi ikut jalur biasa, kalau tidak nanti kita kena pakat dengan kelompok itu, kelompok ini, mesyuarat sulit sana, sini, jadi tak tumpu kerja,” katanya.

Dipercayai kenyataan Anwar itu merujuk usaha dilakukan pihak tertentu yang mahu mewujudkan kerajaan 'pintu belakang' seperti disebut-sebut sebelum ini.

Ia juga boleh dikaitkan dengan tindakan Timbalannya, Mohammed Azmin Ali yang sebelum ini dilapor mengadakan pertemuan 'misteri' bersama beberapa Ahli Parlimen termasuk Barisan Nasional di kediaman rasminya baru-baru ini.

Sementara itu tambah Anwar, disebalik kekalahan memalukan HARAPAN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini, pemimpin sewajarnya mengambil langkah efektif menyelesaikan isu yang diterjemah rakyat dalam  PRK itu.

“Jadi dalam HARAPAN mesti ada sikap rendah diri, nampak rakyat gelisah marah atau protes atau nak ajar kita, maka belajarlah cepat.

"Kalau masih lagi cara begini, pamer kuasa masing-masing, nak agih projek, nak beli orang, guna berita palsu. Ini semua tak bantu kita,” katanya.

Post a Comment

0 Comments