Tiada amaran banjir: Ahli Parlimen kritik kelemahan Jabatan Meteorologi


BEBERAPA
pemimpin pembangkang mempersoalkan ketidaksediaan agensi kerajaan dalam menghadapi kejadian banjir besar.

Mereka bertanyakan mengapa Jabatan Meteorologi, misalnya, gagal memaklumkan orang ramai seminggu atau dua minggu lebih awal berkenaan potensi kejadian banjir seperti berlaku di Lembah Klang, sebahagian kawasan di Pahang dan beberapa tempat lain minggu lalu.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dipetik laporan FMT berkata, jabatan itu pastinya maklum bahawa cuaca buruk itu akan datang.

“Mengapa ia simpan maklumat itu? (Jabatan) sepatutnya memberi makluman mengenai ribut tropika itu supaya orang ramai dapat bersiap sedia,” katanya dipetik.

Selain itu tambahnya, pihak berkuasa lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sepatutnya menyediakan talian penting yang dapat dihubungi orang ramai yang memerlukan bantuan.

“Kemarahan yang dirasai mangsa banjir tidak dapat digambarkan. Mereka kehilangan segala-galanya, daripada perabot, barangan elektrik hingga barang berharga.

“Mereka tiada wang untuk membeli peralatan dapur untuk memasak.” tegas Charles.

Mangsa banjir di beberapa kawasan mendakwa cubaan mereka menghubungi pihak berwajib bagi mendapatkan bantuan tidak dilayan.

Seorang mangsa banjir di Hulu Langat melalui satu video tular berkata tiada satu pun agensi kerajaan yang datang menyelamatkan penduduk dalam kejadian yang berlaku hujung minggu lalu, sebaliknya mereka hanya dibantu oleh warga asing di kawasan berkenaan.

Wanita itu memberitahu tiada tindakan diambil kerajaan biarpun banyak panggilan telah dibuat untuk meminta bantuan daripada agensi terbabit.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen menggesa siasatan dijalankan bagi mengetahui apakah terdapat kegagalan ramalan di pihak Jabatan Meteorologi atau adakah ini kes kegagalan komunikasi antara pelbagai agensi dan pihak berkuasa.

“Mesti ada pihak yang perlu dipertanggungjawabkan.”

"Kemusnahan mungkin tidak seteruk yang dialami jika sistem amaran awal berkesan, katanya yang meminta satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk mendokumentasikan kesilapan yang berlaku dan menggunakan penemuannya untuk menambah baik pengurusan banjir dan usaha menyelamat pada masa hadapan.

Jangan sampai insiden sama berulang
“Saya yakin perubahan iklim menyumbang kepada intensiti banjir ini,” katanya sambil menegaskan agensi berkenaan perlu lebih bersedia untuk banjir besar seterusnya.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok percaya agensi kerajaan tidak dilengkapi untuk menangani banjir, dan ini mengakibatkan kesengsaraan kepada ribuan rakyat.

“Tindak balas NADMA juga lembab,” katanya menurut laporan portal itu.

Post a Comment

0 Comments