Abdul Azeez gagal pindah kes rasuah ke Mahkamah Tinggi


PERMOHONAN Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya Datuk Abdul Latiff untuk memindahkan kes pendakwaan membabitkan rasuah dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi ditolak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan tersebut atas alasan bahawa pertuduhan terhadap kedua mereka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLTFPUAA) tidak menimbulkan sebarang perkara yang baharu dari segi undang-undang.

“Adalah menjadi kebiasaan perbicaran kes di bawah Akta SPRM dan AMLTFPUAA dijalankan oleh Mahkamah Sesyen di seluruh negara. Mahkamah Sesyen adalah tidak kurang keupayaannya untuk menjalankan penghakiman terhadap kedua tertuduh,” katanya.

Tambah Mohd Nazlan lagi, beliau tidak dapat lihat bagaimana perbicaraan yang akan dijalankan di Mahkamah Sesyen, akan menimbulkan sebarang prejudis terhadap kedua-dua tertuduh atau pendakwa.

Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140juta.

Manakala abangnya menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.

Pada 16 Jan lepas, Abdul Azeez,52, yang juga  Ahli Parlimen Baling  mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan tersebut.

Berikutan perkembangan tersebut, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan 12 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes, selepas diberitahu yang Mahkamah Tinggi menolak permohonan tersebut.

Post a Comment

0 Comments