SATU sidang media di Dewan Rakyat semalam kecoh apabila pengamal media mahu penjelasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.
Ia susulan dakwaan bahawa Ahli Parlimen Silam itu bertindak keterlaluan terhadap sekumpulan jurugambar yang mahu merakam gambarnya.
"Sebelum soalan lanjut, kami cuma nak minta penjelasan daripada Menteri Pelancongan kenapa tadi dipanggil media rubbish, idiot ketika menjalankan tugas?" tanya seorang wartawan.
Sidang media itu sepatutnya menjadi sidang media untuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berhubung keputusan mahkamah berkait dirinya semalam.
BACA: Musa Aman kalah rayuan, diarah bayar RM70 ribu
"Bila saya kata rubbish, idiot? (sampah, bodoh)" soal Mohamaddin kembali.
"Saya tidak mengatakan begitu, lebih baik kamu dengar betul, saya tak cakap begitu," katanya menjawab soalan wartawan berkenaan seperti dilapor Malaysiakini.
Terdahulu, beberapa jurugambar daripada organisasi berita berbeza mendakwa kira-kira sejam sebelum sidang akhbar tersebut, mereka mengambil gambar Mohamaddin ketika menteri itu berjalan di lobi Parlimen.
Mohamaddin dikatakan mendekati mereka dan memarahi jurugambar tersebut.
"Saya yang dulu dia marah, dia tanya 'Why are you taking my picture' dan lepas tu dia cakap 'you better get lost'.
"(Nadanya) serius. Saya, sudah tentu, takut apabila dia tiba-tiba datang kepada saya.
"Saya kata saya hanya (ambil gambar) untuk simpanan," kata seorang jurugambar dari sebuah portal dalam talian.
Dua lagi jurugambar menurut laporan itu berkata, Mohamaddin mendekati mereka selepas itu kerana mengambil gambarnya dan mendengar dia berkata, "What rubbish".
Bagaimanapun, jurugambar terbabit berkata mereka tidak pasti apa yang dirujuk Mohamaddin apabila dia berkata begitu.
Selepas kejadian itu, Setiausaha Akhbar Mohamaddin kemudian memanggil jurugambar berkenaan untuk meminta maaf kepada mereka.
Sementara itu dalam satu lagi laporan, Mohamaddin Ketapi menafikan ada mengherdik jurugambar terbabit.
Jelasnya, menggelar seseorang dengan panggilan berkenaan bukan sikap dirinya sebagai seorang Ahli Parlimen.
Sementara itu tambahnya, tindakan jurugambar yang mengejarnya ke tandas dan mengambil gambarnya juga seharusnya dihentikan.
0 Comments