
LAPAN buah rumah di Mukim Tajar dekat Alor Setar dilapor rosak dibadai puting beliuang petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten Md Zain Baharom yang dipetik laporan bernama berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan beberapa bumbung rumah diterbangkan dan mengalami kerosakan.
"Alhamdulillah setakat ini kita dilaporkan tiada penduduk yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu," katanya menurut laporan itu.
Difahamkan, seramai 54 mangsa terjejas dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, penduduk terlibat, Zulkisfali Salleh, 60, yang menceritakan kejadian itu berkata, dia bersama isteri dan lima ahli keluarganya yang lain terpaksa keluar berlindung di luar rumah bagi mengelak ditimpa kayu dan bumbung.
Katanya, kejadian puting beliung itu berlaku hanya dalam tempoh seminit dan menerbangkan keseluruhan bumbung rumahnya.
"Masa itu cuaca mendung dan kami sedang berehat sementara menunggu waktu asar...tiba-tiba bunyi dentuman kuat disertai deruan angin dari arah tepi rumah dan dengan sekelip mata bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin," katanya.
0 Comments