CALON Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Pilihan Raya Umum (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini perlu menggalas tanggungjawab menangani lima isu di kawasan itu sekiranya dipilihan sebagai wakil rakyat.
Pengerusi HARAPAN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lima perkara itu perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat setempat kawasan itu.
“Saya mahu cadangkan wakil rakyat yang akan dipilih (pengundi) dari HARAPAN ini akan tumpukan lima perkara utama iaitu satu, mencari jalan bantu tangani isu kos sara hidup yang merupakan bukan masalah baru.
“Kedua, meningkatkan keselesaan hidup, isu-isu berkenaan pencemaran alam dan sungai dan sebagainya mesti kita bantu supaya kehidupan penduduk di Tanjung Piai terpelihara,” katanya ketika majlis memperkenalkan calon dan pelancaran jentera HARAPAN di Pontian semalam.
Muhyiddin berkata perkara ketiga dan keempat yang perlu ditumpukan Karmaine kelak adalah memperbanyakan rumah mampu milik dan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan.
“Syarikat swasta juga elok digalakkan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan Tanjung Piai.
“Keempat, antara program yang harus wakil rakyat kita tumpukan adalah meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan supaya penduduk sentiasa sihat,” tambahnya.
Semalam, HARAPAN mengumumkan bekas Imam Masjid Al-Muttaqin, Johor Bahru iru sebagai calon pilihan mereka, Karmaine, 66, juga merupakan Pembantu Teknik dan Arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpir (DBKL) pada 1978 hingga 1990.
BACA: Pengerusi Biro Agama diumum calon Tanjung Piai
Tambah Muhyiddin, perkara kelima yang perlu menjadi agenda Karmaine ialah meningkatkan peluang pekerjaan terutama kepada anak-anak muda dan mereka yang mempunyai pendapatan yang kecil juga perlu diambil perhatian. Ia jelasnya termasuk dalam industri melibatkan pelancongan.
“Kalau mereka tidak ada latihan, kita akan beri. Tiada peluang pekerjaan, kita akan wujudkan industri dan kilang-kilang lebih banyak supaya mereka dapat bekerja, jadi mereka tidak perlu keluar kawasan dan ke Singapura.
Sementara itu, Karmaine ketika mengulas gesaan tersebut berkata, beliau sudah mengenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai yang kini sudah pun mula kelihatan.
“Saya rasa selain lima isu yang dibangkitkan, kita sudah kenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai seperti jambatan baru yang akan merentasi Sungai Pulai akan menjadi penghubung baru dari Johor Bahru ke Tanjung Piai dan ambil masa 20 minit.
“Ini juga satu faktor untuk menaikkan ekonomi dalam industri pelancongan, selain mengambil kira tiga sektor penting (di Tanjung Piai) iaitu dari segi ekonomi pertanian, perikanan dan industri,” katanya dipetik media.
0 Comments