Petronas SRT kekal dua tonggak utama


PELUMBA Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli akan terus bersama Petronas bagi sesi kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia musim hadapan.

Perkara itu disahkan Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali dalam satu sidang media di Sepang semalam.

Tambah Razlan, Petronas mahu kedua-dua pelumba itu kekal bersama pasukan susulan prestasi membanggakan yang dicapai pada musim ini.

Malah menurutnya, Pasukan kini meletakkan sasaran bagi mengekalkan kedudukan pendahulu kategori pengeluar bebas dan kategori pelumba bebas yang sedang dikuasai Quartararo.

Sebagai rekod,  Quartararo dinobatkan sebagai Rookies of the year bagi saingan paling berprestij itu baru-baru ini.

Mengulas saingan Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini, Razlan berkata, pasukan itu optimis dua pelumba pasukan itu mampu meraih kedudukan podium.

Dalam perkembangan berasingan, beliau mendedahkan Adam Norrodin yang menggantikan Khairul Idham Pawi (KIP) dalam saingan Moto2 pada musim ini, akan kembali bersaing dalam Kejuaraan Remaja di Sepanyol (CEV) pada musim hadapan bersama seorang lagi pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayudin.

Khairul Idham terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan di tangan kanannya di Sepanyol, Ogos lalu, susulan kecederaan yang dialaminya pada GP Sepanyol pada Mei lalu.

"KIP akan turun ke kategori Moto3 pada musim hadapan, dan beliau akan menjalani sesi latihan pra-musim 2020 di Litar Jerez, Sepanyol, selepas berakhirnya pusingan terakhir MotoGP 2019 di Valencia pada pertengahan bulan hadapan," jelas Razlan.

Beliau turut mendedahkan SIC sedang mengasah beberapa bakat berpotensi bagi diketengahkan ke dalam saingan MotoGP selewat-lewatnya pada 2021.

Post a Comment

0 Comments