Tun M tak 'kebulur' nak jumpa Trump



PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berhasrat bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam kunjungannya ke New York minggu depan.

Ia disuarakan dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya semalam.

Sebaliknya, Dr Mahathir menegaskan, beliau akan bertemu dengan ramai pemimpin dunia lain selain berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ketika kunjungan itu nanti.

"Saya tidak akan bertemu Trump tetapi saya akan berucap di sana, saya juga akan bertemu dengan ramai pemimpin," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya apakah isu-isu yang bakal dibangkitkan melalui ucapannya di perhimpunan itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan menyatakan kebenaran berhubung isu serantau.

"Kita akan mengkritik bila kita perlu mengkritik dan kita juga akan memberi pujian terhadap perkara tertentu yang telah dilakukan oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," kata Perdana Menteri.

Sebagi rekod, Dr Mahathir disenaraikan sebagai 50 Tokoh Dunia Paling Berpengaruh 2019 oleh portal antarabangsa, Fortune.com.

Beliau dikenali lantang mengkritik kuasa-kuasa besar dunia terutama dalam pelbagai isu termasuk Israel dan anti-Semitisme.

Post a Comment

0 Comments