Polis buru saki baki sindiket palsukan MyKad


SAKI-baki individu terlibat sindiket  dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri palsu kini diburu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, setakat ini 20 suspek ditahan kerana dipercayai terbabit aktiviti pemalsuan dokumen bagi tujuan memudahkan aktiviti keluar dan masuk ke negara ini oleh individu bukan warganegara Malaysia atau permastautin tetap (PR).

“Berdasarkan siasatan dijalankan pada masa ini, terdapat lapan lagi MyKad palsu yang dimiliki oleh warga asing masih belum dapat dikesan.

“Justeru, siasatan lanjut sedang dilakukan secara terperinci bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti warga asing yang memiliki MyKad berkenaan,” katanya dipetik laporan BH online.

Difahamkan semua ditahan masih direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari.

Pihak berkuasa polis baru-baru ini melancarkan operasi membenteras sindiket itu yang  dipercayai didalangi pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mengulas lanjut, Huzir berkata, berdasarkan modus operandi sindiket berkenaan, ejen sindiket akan mencari warga asing yang ingin mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia dan kemudian menghubungi suspek utama.

“Pegawai berkenaan akan menguruskan sijil kelahiran dan MyKad secara tidak sah dan semasa proses mengemas kini data dilakukan, pegawai berkenaan akan mengarahkan beberapa kakitangan JPN lain untuk membantunya.

“Kita tidak menolak kemungkinan kakitangan JPN lain tidak menyedari sama ada rekod yang mereka masukkan adalah sah atau tidak,” katanya lagi.

Sindiket terbabit difahamkan memperoleh bayaran antara RM100,000 hingga RM600,000 daripada warga asing yang ingin memiliki dokumen berkenaan.
Sindiket mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak akan menjalankan siasatan kes pembongkaran aktiviti itu.

Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Beebi Koya berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berhubung perkara itu.

“Jika kita dapat maklumat yang jelas (mengenai sesuatu kes) kita akan terus bergerak tanpa aduan.. tetapi cuma kini kita belum ada apa-apa maklumat jelas mengenai kes itu,” katanya.

"kami sedang memerhatikannya, jika benar ada sindiket itu kita akan mulakan siasatan sebab kes berkenaan penjualan kad pengenalan atau kes pengeluaran kad pengenalan palsu bukan satu perkara yang baru," tegas Latheefa.

Post a Comment

0 Comments