Balu Mejar Zahir luah rasa terkilan


ALLAHYARHAM Mejar Mohd Zahir Armaya tidak sempat mengetahui berita beliau bakal dikurnia seorang lagi cahaya mata.

Balu wira negara itu, Nour Shafinar Harun berkata, dia merasa terkilan dan sedih kerana berita gembira itu tidak sempat dikongsikan bersama suaminya. Jelasnya dia  sendiri hanya mengetahui kehamilan itu dua hari selepas pemergian suaminya.

"Dua hari (selepas) arwah tiada, ada kawan-kawan tengok saya dan bertanya adakah saya mengandung. 

"Saya kuatkan hati, saya test pregnancy (ujian kehamilan), saya tengok Alhamdulillah memang saya mengandung cuma arwah tak sempat tahu berita gembira ni," kata Nour Shafinar dipetik laporan Astro Awani.

Menerima kunjungan Tuanku Zara | Foto - Awani
Terdahulu, Shafinar menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di kediaman ibunya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta semalam.

Tuanku Zara berkenan meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar keadaan Nour Shafinar dan keluarganya.

Nour Shafinar sementara itu berkata dia dan keluarga reda dengan pemergian arwah suaminya.

"Saya sebagai isteri kepada arwah, tak salahkan pihak mana-mana, saya juga anggap ini satu kemalangan di dalam latihan sebab mereka sama-sama sharp shooter (penembak tepat)," katanya lagi.


Kerajaan Negeri mahu bantu


Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang berusia 36 tahun yang anak kepada pelakon veteran, AR Badul meninggal dunia akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah pada 4 September lalu.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan negeri meluluskan sumbangan khas sebanyak RM25,000 kepada keluarga Allahyarham.

Ahmad Faizal ketika menziarahi keluarga Allahyarham
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sumbangan itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan Allahyarham mempertahankan kedaulatan negara.

"Biarpun sumbangan ini tidak dapat dibandingkan dengan kepiluan dan kesedihan yang sedang dilalui oleh Nour Shafinar, ia diharap sedikit-sebanyak membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga Allahyarham.

"Kerajaan negeri mendoakan semoga Nour Shafinar terus dikurniakan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang amat sukar itu," kata Ahmad Faizal dalam satu kenyataan.

Kerajaan negeri juga jelasnya bersedia menghulurkan bantuan susulan bagi mengurangkan bebanan isteri Allahyarham dalam membesarkan anak-anak.

Post a Comment

0 Comments