KERAJAAN Pakatan Harapan (HARAPAN) Negeri Sembilan berpegang pada prinsip untuk tidak akan menaikkan kadar tarif air di negeri ini.
Pendirian itu ditegaskan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun kos pengurusan dan operasi bekalan air di negeri itu meningkat setiap tahun, namun ia masih mampu diserap oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).
Tambahnya, ketika ini, syarikat pembekal air bersih di Negeri Sembilan itu tidak berdepan masalah dan terus mempu menjana keuntungan.
"Sekiranya kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menaikkan kadar tarif air semasa, Exco akan mengadakan perbincangan lanjut mengenainya.
"Tetapi, sehingga kini, kami masih dengan pendirian untuk tidak menaikkan kadar tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco.
Aminuddin sebelumnya mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar pada Ahad yang membayangkan kadar baharu tarif air bakal diumumkan hujung tahun ini.
Kerajaan Negeri Sembilan, pada Februari lalu berjanji untuk tidak menaikkan tarif air di negeri ini dalam tempoh dua tahun akan datang bagi melindungi kepentingan rakyat di negeri itu.
0 Comments