SEKURANG-kurangnya 27 pelajar madrasah di Liberia syahid setelah terperangkap dalam kebakaran ketika mereka sedang menghafaz al-Quran.
Memetik laporan Daily Mail, hanya dua pelajar dan seorang imam di madrasah berkenaan berjaya menyelamatkan diri dalam insiden yang berlaku awal pagi Khamis itu.
Jurucakap polis, Moses Carter dipetik berkata, polis masih mencari mayat mangsa dalam kebakaran yang menyebabkan bangunan sekolah itu runtuh.
Kebakaran dipercayai berpunca dari litar pintas.
Sementara itu, ratusan penduduk setempat berhimpun di luar tempat kejadian, ada antara mereka yang gagal menahan kesedihan apabila menyaksikan pekerja ambulans membawa mayat dari situ. Semua mangsa dilaporkan berusia antara 10 hingga 20 tahun.
Penduduk mengenali mereka semua sebagai budak baik serta sopan.
Seorang guru, Gaylor Mulbah yang berhampiran madrasah itu berkata: “Saya keluar kerana menyangkakan bunyi bising didengar disebabkan perompak, namun alangkah terkejut apabila melihat segalanya merah disebabkan kebakaran besar.”
Mulbah yang mengajar di sekolah lain berkata, dia mahu membantu pelajar berkenaan tetapi tidak mampu menghampiri bangunan yang terbakar itu disebabkan api terlalu tinggi.
Lebih memburukkan keadaan apabila tingkap bangunan itu ditutup jeriji, katanya dipetik.
0 Comments