SELANGOR mencatatkan kes penceraian pasangan Islam yang tinggi apabila lebih 24 ribu pendaftaran permohonan cerai difailkan sepanjang 2017 hingga 2018.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, apa yang lebih membimbangkan lebih 20 peratus daripada jumlah itu merupakan pasangan muda yang baru berkahwin.
Difahamkan, isu kewangan dan tiada persefahaman antara pasangan menjadi antara punca utama masalah penceraian di negeri itu.
“Keadaan ini sudah tentu tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan negeri kerana jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh mengganggu agenda kemajuan Selangor yang telah disusun,” katanya.
Amirudin sebelumnya bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah dan Pelancaran Dana Bantuan Nafkah di Shah Alam siang tadi.
Menyedari kesulitan dihadapi golongan wanita yang menjadi mangsa penceraiaan, Kerajaan Negeri mengumumkan kelulusan Dana Bantuan Nafkah berjumlah RM100,000 bertujuan membantu golongan itu menyara anak-anak.
Dana itu akan diagihkan kepada mereka yang layak dan yang telah memfailkan kes tuntutan nafkah terhadap bekas suami.
“Bagi wanita dan anak-anak yang telah memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah, tetapi pihak bapa atau suami ingkar atau cuai bayar nafkah, bantuan ini akan disalurkan sekiranya mereka layak dan dalam kategori miskin.
“...dan bantuan nafkah ini akan dibayar dalam tempoh enam bulan mengikut jumlah anak iaitu seorang anak akan diberi RM200 sebulan, dua ke tiga anak RM300, empat ke lima anak RM400 dan enam orang anak ke atas RM500,” katanya lagi.
0 Comments