ULASAN| Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Maza) telah menulis surat terbuka kepada Dr Mahathir, meluahkan kebimbangannya dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sekarang ini, rasa kurang senang dengan mereka yang rakus kuasa, mengancam Islam dan hujungnya menyampaikan mesejnya agar Dr Mahathir supaya tidak melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.
Peringatan Maza yang berpandukan kepada sejarah Islam lampau baik, kerana sirah dan sunnahlah yang perlu diguna pakai.
Tetapi ada hal yang boleh dipertikaikan kejujuran dan kerasionalan Mufti itu apabila beliau menutup mata kepada realiti politik Malaysia dan apa yang sudah dikonsensuskan.
Beliau tidak menyebut secara langsung tetapi secara tersiratnya beliau tidak setuju Anwar dilantik mengganti Mahathir.
![]() |
Mohd Sayuti Omar |
Tujuannya ia mahu menjaja pandangannya tentang Anwar. Kerana kalau tidak begitu tujuannya, ia boleh menulis surat itu secara tertutup.
Untuk tidak mahu menerima Anwar itu hak Maza dari perspektif dan keyakinan ilmu yang ada kepadanya.
Tetapi beliau perlu sedar konsensus HARAPAN yang akan mengganti Mahathir nanti ialah Anwar.
Itu janji dan bukankah memungkiri janji itu juga akan diselar api neraka?
Beliau nampaknya mengambil berat mengenai Islam dalam masa sama menaruh kebimbangan kepada bukan Islam.
Sebaiknya beliau menggunakan kepakaran dan "wahyu" yang diterimanya bagaimana hendak memahamkan bukan Islam dengan budaya Melayu dan juga memahamkan mereka dengan ajaran Islam dengan harapan mereka faham kalau pun tidak memeluk Islam.
Dan mengenai nasihat kepada Mahathir itu agar melantik penggantian yang akan memastikan PM 94 itu tidak akan disoal di akhirat besok selepas salah memilih pengganti, Maza tidak hanya perlu sekadar memberi (teori) mengenai pelantikan (pengganti)nya, tetapi beliau kena sebut siapa nama pemimpin yang bakal dilantik itu.
Setelah beliau meragui Anwar? Beliau perlu menzahirkan nama yang ditilik dalam kolam makrifahnya. Siapa?
Sebut nama itu dan kita sama-sama kaji dan fikir apakah pengganti Mahathir nanti akan dapat menyelamatkan kita semua di dunia dan akhirat atau tidak.
Menyanyi dengan irama yang asyik tetapi tidak ada seni kata menjadikan kita kehilangan separuh daripada khasiat dan nikmatnya. Trims.
Mohd Sayuti Omar merupakan penulis dan penganalisis politik semasa. Terkenal dengan penerbitan beberapa buku berkisar isu politik negara.
Tulisan ini pertama kali disiarkan di muka buku beliau dan ia tidak mencerminkan pendirian rasmi Kartel.