Untung berbilion, bank jangan-lah cekik rakyat lagi!


LANGKAH terbahru institusi kewangan mengenakan bayaran transaksi 50 sen bagi mesin pengeluaran tunai (CRM) dan mesin deposit cek (CQM) serta bayaran RM2 bagi transaksi di kuanter dianggap penindasan terhadap pelanggan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP),
Mohideen Abdul Kader berkata, langkah tersebut dianggap cubaan bank untuk mengambil keuntungan lebih dari poket pelanggan dan hanya akan membebankan rakyat terutama golongan B40.

Tambahnya mereka kesal kerana walaupun telah menghantar bantahan mengenai perkara itu kepada Bank Negar Malaysia (BNM) namun belum ada maklum balas mengenainya.

Bank Negara digesa segera menghentikan tindakan bank tempatan daripada terus 'mencekik darah pelanggan' memandangkan mereka sudah mengaut keuntungan berbilion ringgit.

"Kita sudah menghantar surat kepada Bank Negara mengenai perkara itu, namun sehingga kini belum menerima sebarang jawapan.

"Kegagalan (Bank Negara) memberi jawapan membawa maksud persetujuan secara diam-diam terhadap dasar baharu bank itu

"Bank mestilah tidak dibenarkan untuk mengambil untung lebih daripada pelanggan dengan melaksanakan 'dasar yang tidak adil'," katanya seperti dilapor Sinar.

Mohideen berkata, beliau dimaklumkan ada bank memaklumkan ia dasar baharu dan pelanggan yang enggan perlu memilih perbankan dalam talian.

Walaupun caj tersebut bermula 1 Oktober ini namun pihaknya sudah menerima aduan daripada pelanggan mengenai perkara itu sejak Mei lalu.

Terdahulu,Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim mengajak orang ramai membantah tindakan mengenakan caj perkhidmatan keterlaluan itu.

Tindakan itu jelasnya sudah tentu mencekik sebahagian besar rakyat di negara ini terutama untuk kebanyakan guru, golongan B40, peneroka, nelayan dan peruncit
 serta masyarakat luar bandar yang lebih banyak berurusan di kuanter berbanding atas talian.

"Sehelai cek sudah lama kena caj. Untung bank berbilion ringgit. Mari bantah," katanya menerusi ciapan yang dimuat naik dalam akaun Twitternya pada Sabtu lalu.

Post a Comment

0 Comments