PELUMBA negara Khairul Idham Pawi bakal kembali mewarnai saingan kategori Moto3 pada musim depan bersama PETRONAS Sprinta Racing.
Berita mengenainya dikongsikan Khairul Idham atau juga dikenalai sebagai Super KIP melalui satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, penyertaan kembali Super KIP ke Moto3 juga sebagai sebahagian daripada proses pemulihan berterusan terhadap kecederaan yang dialaminya di Grand Prix Sepanyol pada Mei tahun ini.
Rancangan pemulihannya sekarang ini adalah untuk persediaan bagi musim 2020, yang bermakna beliau tidak akan kembali ke Moto2 pada 2019 dan akan digantikan dengan Adam Norrodin bagi baki perlumbaan musim 2019.
“Pemulihan kecederaan saya mengambil masa lama, sesuatu yang menyedihkan. Saya tidak dapat berbuat banyak selain terus berusaha, namun berharap pembedahan terakhir akan membantu saya untuk pulih,” katanya lagi.
Sementara itu, prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali menganggap pasukan telah membuat keputusan terbaik selepas menganalisa pilihan yang ada bagi memberikan rawatan terbaik untuk kecederaan tangan Super KIP.
“Dengan KIP kembali ke Moto3 tahun hadapan, beliau akan berada dalam situasi yang beliau pernah ada sebelum ini dan kita akan menyasarkan keputusan yang terbaik. Pada masa ini fokus untuk KIP ialah pulih sepenuhnya dan kami akan sokong beliau sepenuhnya.
“Untuk baki perlumbaan musim Moto2 2019, Adam Norrodin akan terus berlumba sebagai sebahagian daripada program pembangunannya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah pasukan Johan Stigefelt berkata, pasukan Moto3 itu kini dilihat mempunyai barisan pelumba yang kuatselepas membawa masuk Super KIP dalam persaingan kelas itu.
"Pada mulanya terlalu berharap yang beliau dapat kembali beraksi pada musim ini.
"Dengan satu lagi pembedahan semalam, tidak masuk akal untuk meletakkan harapan beliau akan kembali ke Moto2 tahun ini.
“Untuk 2020, kami akan mempunyai barisan pelumba Moto3 yang kuat dengan KIP bersama John McPhee dan kami melihat kepada peluang prestasi yang akan ada tahun hadapan,” katanya.
Sebagai rekod, pelumba berasal dari Perak itu memulakan kariernya Grand Prix dalam kelas Moto3 memenangi perlumbaan keduanya sebagai pelumba sepenuh masa pada 2016 dan memenangi satu lagi perlumbaan tahun sama. Beliau kemudiannya bertanding di kelas Moto2 dengan pencapaian mengkagumkan.
Musim Moto3 2020 akan bermula pada Mac tahun depan dengan perlumbaan pembukaan di Grand Prix Qatar yang dijadualkan pada 8 Mac
.
0 Comments