Bakal analisis, kenal pasti individu dalam video skandal



PIHAK Polis bakal mendapatkan khidmat pakar bagi menganalisis kandungan video seks sejenis yang didakwa membabitkan dengan seorang menteri kabinet varu-baru ini.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, ia susulan arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengambil langkah seterusnya dalam menyiasat ketulenan video tersebut.

Menurutnya, polis tidak boleh mengambil langkah semberono dalam memilih pakar  dan ia harus dibuat dengan teliti memandangkan entiti itu perlu memberi keterangan berkaitan kes berkenaan kepada mahkamah kelak.

“Arahan sudah dikeluarkan Jabatan Peguam Negara untuk memperoleh pendapat kedua dan ketiga, kami sedang dapatkan khidmat menganalisis kandungan video tersebut.

"Kes ini berprofil tinggi dari sudut teknikal," jelas Abdul Hamid.

Pada Jun lalu, negara digemparkan dengan penularan rakaman video sejenis membabitkan tokoh politik negara.

Kurang 24 jam selepas penularan video itu dilaporkan, bekas ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Bahagian Santubong, Haziq Aziz tampil mengaku sebagai individu dalam video tersebut.

Dia turut menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video yang tular itu.

Susulan itu polis kemudian mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas forensik yang terdiri daripada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta agensi lain untuk menentukan ketulenan video tersebut.

Abdul Hamid pada 18 Julai lalu mengumumkan analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video tersebut adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang didakwa sebagai Azmin itu.

Post a Comment

0 Comments