Markas ketum kene gempur pihak polis


SATU sindiket memproses dan menjual air ketum yang beroperasi di Kampung Pintu Padang dekat Kampar berjaya ditumpaskan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik kira- kira jam 11 malam pada Sabtu itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 30  disyaki menjalankan aktiviti tersebut ditahan.

Bagaimanapun, suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan suspek ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati daun ketum yang diproses dijual dengan harga RM10 sebungkus dan dijual kepada orang-orang di sekitar kampung.

"Antara rampasan dalam operasi tersebut ialah 18 bungkusan plastik di mana setiap satunya mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran berat 22.5 liter.

Antara peralatan dirampas dalam serbuan
"Sepuluh bungkusan plastik warna hitam, setiap satunya mengandungi helaian daun-daun hijau disyaki daun ketum dengan anggaran berat 40 kilogram turut ditemui.

"Selain itu, turut dirampas ialah satu tong ais, tiga periuk besar, dua tong gas serta masing-masing satu besen plastik, penapis besi, jug air dan alat penimbang," kata Hasron melalui kenyataan pada semalam.

Sebagai rekod, ketum adalah herba yang digunakan secara tradisional untuk memberi tenaga selepas bersalin dan kekuatan melakukan kerja berat.

Diguna secara meluas di Malaysia dan Thailand, ketum diisytihar sebagai bahan terlarang sejak tahun 2003.

Penyalahgunaanya boleh mengakibatkan kurang selera makan, cirit-birit, hidung dan mata berair, cepat marah, demam, sukar tidur, kurang subur (masalah ejakulasi pramatang dan libido seksual) serta ilusi fikiran.

Pengguna juga dikhuatiri mungkin bertukar ke bahan lebih berkesan untuk hilangkan ketagihan seperti morfin atau heroin.

Sementara itu, Hasron berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Post a Comment

0 Comments