Curahkan bakti, jangan patriotik sekadar di mulut


SEMUA
lapisan rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu terus bersama-sama mencurahkan khidmat bakti dalam membangunkan Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam perutusan  sempena sambutan Hari Malaysia 2019 hari ini berkata, ia penting bagi memastikan  generasi akan datang merasai nikmat pembangunan dan kemakmuran dikecapi kini.

Tambah Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu lagi, semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan perlu mencurahkan khidmat bakti menerusi tindakan dan bukan hanya melalui laungan lagu atau lontaran suara semata-mata.

“Kita curahkan segala-galanya untuk membangunkan negara ini sebagai sebuah negara yang boleh dihuni masyarakat pelbagai anutan agama dan kaum supaya generasi akan datang mendapat manfaat jauh lebih baik.

“Bersempena Hari Malaysia ke-56 ini, saya berharap selaku rakyat Malaysia kita curahkan khidmat bakti agar rakyat yang ada di negara terus hidup dalam keadaan aman sejahtera dan makmur,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, Malaysia pada hari ini adalah jauh berbeza berbanding awal pembentukan negara pada 16 September 1963.

“Kita sedar dan tahu banyak lagi yang perlu dilakukan, tapi dalam jangka masa 56 tahun kita sebagai sebuah negara bukan hanya telah berjaya dalam memupuk perpaduan, malah mengekalkan kesatuan dalam kepelbagaian kaum, budaya dan agama,” katanya lagi.
 

Post a Comment

0 Comments