DALAM usaha bersungguh-sungguh menangani amalan rasuah di negara ini, kerajaan tampil memberi jaminan akan melindungi syarikat yang memberikan maklumat berkaitan amalan itu.
Jaminan itu dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik laporan Malaysiakini.
Difahamkan, Dr Mahathir berkata demikian dalam satu perjumpaan bersama golongan korporat di negara ini bagi menjalin kerjasama dalam usaha membendung amalan rasuah.
“Bila rasuah dikurangkan, syarikat boleh buat lebih banyak duit, yang akhirnya dapat mempertingkatkan habuan kepada pekerja, pemegang saham dan rakyat secara umumnya,” katanya Dr Mahathir.
Terdahulu, Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mengambil alih pemerintahan negara dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dilihat bersungguh-sungguh menangani rasuah.
Januari lalu, kerajaan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
NACP menggariskan enam strategi dan 115 inisiatif antirasuah melibatkan sektor-sektor politik; perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; pentadbiran sektor awam; perundangan dan kehakiman; serta tadbir urus korporat.
Usaha itu menunjukkan kesan positif apabila hasil kajian Persepsi Rasuah SPRM Siri 13/2018 mengenai kesungguhan kerajaan memerangi rasuah menunjukkan meningkat 11 peratus daripada 59.8 peratus pada 2016 kepada 70.8 peratus tahun lepas.
0 Comments