MISTIK| Jika kita bercerita dengan orang tua-tua, selalunya mereka akan berkongsi kisah-kisah misteri.
Kadang-kala kisah misteri itu diabadikan dengan menamakan tempat-tempat tertentu dengan kisah itu dan disampaikan dari generasi ke generasi.
Tahukan anda, sebuah Kampung di Pokok Sena, Kedah juga tidak terkecuali, Kampung Bukit Teriak simpan kisahnya sendiri.
Menurut cerita seorang penulis sastera, Gurdial Singh yang dipetik dari portal sasterarakyat-kedah, kampung itu diberikan nama sedemikian sejak tahun 1980-an. Teriak bermaksud menjerit; melaung atau memekik.
Dahulu kisahnya ada seorang wanita yang sarat mengandung. Mungkin kerana mengidap buah berangan dia meredah hutan dikawasan tersebut bersama dua lagi rakannya.
Khabarnya setelah mereka berjumpa pokok tersebut, dua rakanya tiba-tiba tergesa-gesa mahu pulang, namun kerana mahukan sangat buah berangan itu wanita tersebut enggan pulang.
“Dalam usahanya mengumpul buah-buah tersebut, tiba-tiba muncul seekor harimau dan terus menyerangnya.
"Kebetulan, saat itu juga wanita tersebut mahu melahirkan anak,” kata Giardial.
Walaupun cedera parah, wanita itu dikatakan sempat melahirkan anaknya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di dalam hutan berkenaan.
Kerana tangisan kuat bayi yang baru dilahirkan itu, penduduk kampung datang beramai-ramai untuk memberi pertolongan.
“Kejadian tersebut telah meninggalkan sejarah yang tersendiri bagi penduduk kampung lalu menamakan kawasan berkenaan sebagai ‘Bukit Teriak’,” tambahnya.
Benarkah cerita itu? Seorang penduduk, Shaari Saad 51 dari Kampung Bukit Teriak, mengakui kisah tersebut pernah diceritakan oleh datuk dan neneknya sejak usianya masih kecil lagi.
Kampung bunian
Namun tambah Shaari, selain kisah wanita mengandung itu, pernah juga dia diceritakan kisah kewujudan alam bunian di atas bukit berhampiran bukit itu.
Sesekali jelasnya kedengaran bunyi seolah-olah orang teriak dari bukit.
Melalui pengalaman, Shaari mengakui tidak ramai penduduk kampung berani mendaki bukit itu kecuali mereka yang mempunyai 'ilmu'. Penduduk jelasnya hanya berani pergi menoreh pokok getah di sekelilingi kaki bukit itu sahaja.
Benarkah bunian wujud? |
Shaari mendakwa, beliau ada pengalaman mendaki puncak bukit itu bersama rakan-rakan ketika zaman mudanya.
“Masa tuh masih muda. Jadi tak fikir apa-apa pun. Kami naik ke atas bukit sana hanya untuk suka-suka dan melihat pemandangan.
"Apa yang boleh saya katakan, pemandangan dari situ sangat indah.
"Kami dapat lihat sawah yang luas terbentang dengan kampung-kampung berdekatan," katanya yang bersyukur kerana tiada perkara yang pelik berlaku ke atas mereka.
Artikel ini sekadar perkongsian semata-mata.
Cerita tentang jin dan syaitan tergolong dalam perkara ghaib. Taksub terhadap mahkluk halus boleh mendorong kepada amalan khurafat yang haram dan menyebabkan syirik.
0 Comments