Jamal Abdillah mahu kongsi kisah hidup


RAJA
Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah berhasrat membukukan kisah hidupnya.

Menurut bintang legenda itu, hasrat untuk menghasilkan biografi sudah lama dipendamnya.

“Selama 40 tahun dalam bidang seni, saya memang berhasrat untuk menerbitkan biografi tentang diri saya.

“Cuma bila biografi, tentu ada kisah yang positif dan yang negatif, kisah yang negatif tu saya tak mahu diungkitkan lagi.

“Kalau ada mana-mana penulis yang sudi menulis kisah hidup saya boleh hubungi saya untuk kita berbincang,” katanya dipetik laporan Awani.

Sebelumnya, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’, ‘Penghujung Rindu’ dan banyak lagi itu hadir pada sidang media berhubung program Malam Amal Pengasih @cintamanis di Kuala Lumpur.

Bakal diadakan di Hotel Istana pada 17 November ini, majlis itu bertujuan mengutip dana untuk membiayai pembinaan pusat pemulihan Pengasih yang akan berpindah ke Bentong.

Ia bakal dimeriahkan Jamal dan artis terkenal Man Bai.

Mengulas mengenai Malam Amal Pengasih yang bertujuan mengutip dana bagi lokasi baru Pengasih di Bentong itu, Jamal menjelaskan, persetujuannya untuk muncul di majlis makan malam Pengasih itu sebagai membalas jasa pusat pemulihan itu padanya.

“Tempat ini banyak berjasa kepada saya selama ini. Lima tahun saya duduk sini, tak buat apa pun, jadi penglibatan saya dalam Malam Amal Pengasih ini kerana membalas jasa mereka,” katanya memetik laporan itu.

Sebagai rekod, Datuk Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah bin Haji Mohd Ali mumulakan kariernya pada 1973,  mula mencipta nama setelah memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1979.

Post a Comment

0 Comments