Dokumen bocor: Apakah Umno salah tembak?



APAKAH Umno telah membangkitkan isu yang salah sehingga mendedahkan pekung sendiri?

Baru-baru ini, pembangkang dilapor secara lantang mengkritik Kerajaan Persekutuan. Ia berhubung satu dokumen bocor membabitkan binaan Bangunan Gunasama Persekutuan di Kelantan.

Dalam serangan itu, seorang ahli majlis tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii didakwa cuba mengaitkan Kementerian Kewangan dengan syarikat PDM Builders Sdn Bhd yang didakwa telah dianugerahkan projek bernilai RM450 juta itu tanpa tender terbuka.

Lebih terperinci Razlan mahu penjelasan dari Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu kelulusan projek berkenaan.

Serangan terhadap kerajaan itu bukan sahaja dibangkitkan Razlan, tetapi turut mendapat perhatian bekas perdana menteri, Najib Razak.

Najib membuat kritik, memberi bayangan Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng gagal menangani isu tersebut.


Nilai asal lebih tinggi

Namun Malaysiakini dalam laporannya berkata, semakan mendedahkan bahawa kelulusan untuk projek itu sebenarnya diberikan semasa pentadbiran Najib sendiri.

Portal itu yang memetik laman web Kementerian Kerja Raya, mendapati kerja-kerja awal pecah tanah sebenarnya bermula pada 2016 iaitu ketika kerajaan pemerintah ialah UmnoBN.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan Kelantan Mustapa Mohamed dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Najib ketika itu berkata projek itu bernilai RM530 dan bertujuan untuk menggantikan bangunan yang menempatkan agensi persekutuan yang perlu penambahbaikan.

Sementara itu, terdapat satu lagi surut tersebar luas atas talian yang dikatakan daripada PDM Builders Sdn Bhd (PDM) dan bertarikh 1 Nov 2018.

Surat itu mengandungi rayuan syarikat kepada Mahathir untuk projek itu diteruskan kerana kerja-kerja telah pun bermula.

Mengandungi nota tulisan tangan oleh Mahathir, surat bertarikh 9 Mac tahun ini dilapor media sebagai dibaca: "Menteri Kewangan yang terhormat. Projek ini telah diberikan kepada PDM Builders, jika mereka mengurangkan kos, tender baru tidak diperlukan."

Sekiranya surat ini benar, ini bermakna, kerajaan Persekutuan telah berjaya meneruskan semua projek yang diluluskan ketika era pentadbiran sebelum ini dengan kos lebih rendah.

Maka, apa yang dikatakan Guan Eng pada Mac lalu bahawa 121 projek era BN dirundingkan semula bagi menjimatkan kos selepas dianugerahkan melalui tender terhad atau rundingan terus sebelum ini telah dikotakan.

Bukankah jika begitu, sewajarnya tindakan kementerian kewangan wajar menerima pujian kerana berjaya menjimatkan lagi perbelanjaan negara.