PELUMBA gantian pasukan Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin menarik diri daripada perlumbaan Moto2 Grand Prix Aragon di Sepanyol hari ini.
Difahamkan, pelumba berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan di bahu selepas terbabit kemalangan semasa latihan bebas kedua di litar Aragon Motorland pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, Adam berkata, walaupun pemeriksaan dilakukan selepas kemalangan itu mendapati dia mampu berlumba, namun beliau merasakan tidak mampu memberi persembahan terbaik pada sesi perlumbaan itu nanti.
"Mustahil untuk menunggang dalam keadaan sakit ini, kerana kawasan untuk brek meletakkan banyak tekanan kepada bahu. Saya mohon maaf kepada pasukan, kita ada banyak perkara yang perlu dipelajari bersama," menurut Adam dipetik satu laporan media.
Keputusan Adam itu dilihat satu tamparan kepada pasukan berkenaan, bagaimanapun Pengarah pasukan Petronas Sprinta Racing, Johan Stigefelt berkata pasukan itu menghormati keputusan Adam untuk menarik diri.
"Kami cuba beberapa pusingan pagi ini tapi nampak tidak menjadi, walaupun pusat perubatan memutuskan dia boleh beraksi. Trek ini memberikan banyak tekanan kepada bahagian bahu.
Jadi ia keputusan yang tepat untuk tidak berlumba, bagi mengelak risiko menjadikan ia bertambah buruk," ulas Stigefelt.
0 Comments