"JANGAN khianati semangat perjuangan reformasi," demikian tegas Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Serentak KEADILAN Sabah.
Bercakap dihadapan penyokong, Anwar mengingatkan ahli parti itu agar terus komited meralisasi janji untuk membawa budaya politik baharu di negara ini.
Tambah Anwar, walaupun setiap ahli parti boleh berbeza pendapat dan memberi pendapat kepada pemimpinnya, namun matlamat tidak menghalalkan cara dan tindakan yang salah.
![]() |
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim |
Justeru perlu sentiasa bermuhasabah diri bagi memastikan bibit-bibit yang ada dalam budaya politik Umno dan Barisan Nasional (BN) seperti salah guna kuasa, rasuah, gila kuasa dan memperkayakan diri dibawa dalam parti itu.
"Jangan lupa, kita serang Umno dan BN habis-habisan. Sebab apa? sebab gila kuasa, gondol kekayaan, memperkayakan diri dan memiskinkan rakyat.

Sekarang, orang akan tanya apakah bibit-bibit itu juga terhimpit dan tersangkut dalam kalangan kita. Kalau ada, kita harus bertindak dan nyahkan daripada pengaruh ini.
"Ini dikatakan muhasabah. Jangan sibuk serang orang sahaja kerana kita sekarang ada kuasa," tegasnya.
Sementara itu, Anwar turut meminta pemimpin parti itu agar tidak menjadi alat mempertahan golongan korporat atau ahli perniagaan kerana parti itu ditubuhkan oleh rakyat bawahan yang menuntut perubahan dan pembelaan kepada nasib rakyat.
Parti itu tambahnya perlu menjadi pentas melahirkan pemimpin yang menjadi juara, pejuang dan pembela nasib rakyat.
Pada majlis itu, Anwar menerima sebanyak 11,362 borang keahlian baharu KEADILAN Sabah yang didaftarkan secara dalam talian yang disampaikan Pengerusi Negeri, Datuk Christina Liew.
0 Comments