3 lelaki ditembak mati Sabtu lalu ada rekod jenayah


TIGA
individu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di Rawang pada Sabtu lalu disahkan sebagai penjenayah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata dua daripada mereka merupakan ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08 yang aktif melakukan aktiviti jenayah di Rawang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin
Jelas Noor Azam, semakan telah dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berdasarkan kepada cap jari kedua-dua individu yang ditembak itu mengesahkan ia milik S Mahendran, 23, dan G Thavaselvam, 31.

“Hasil siasatan kami mendapati Thavaselvam dan Mahendran adalah ahli kongsi gelap 08 di Rawang yang terbabit dengan lebih 15 kes samun. Kedua-dua mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau.

"Thavaselvam mempunyai 23 rekod jenayah lampau terutama berkaitan samun. Diletakkan bawah pengawasan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan menjadi individu dikehendaki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

"MMahendran pula mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Tambahnya, pengecaman terhadap seorang lagi lelaki dikenali sebagai J Vijayaratnam, 40, seorang warganegara Sri Lanka mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Ahad lalu, Individu yang mendakwa sebagai ahli keluarga individu ditembak mati itu menuntut penjelasan pihak polis berhubung kejadian itu.

Mereka menafikan bahawa ketiga-tiga mereka yang ditembak mati merupakan suspek kes samun berkumpulan.

Malah mendakwa seorang dari mereka, Janarthanan seorang warganegara Sri Lanka bersama isterinya Moganambal yang masih hilang sebagai baru tiba ke negara ini dari luar negara pada 28 Ogos lalu.

"Semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod kemasukan warga Sri Lanka berkenaan ke negara ini.

“Yang ada rekod isteri dia, pada 28 Ogos tahun ini sama ada dari UK (United Kingdom) atau Sri Lanka, kita sedang siasat. Si mati (suami wanita Sri Lanka) pernah mengikuti program pemutihan oleh Jabatan Imigresen pada 2013 kerana menetap lebih masa,” katanya Noor Azam.

Pada sidang media sama, Noor Azam sekali lagi menafikan wanita yang masih hilang itu ada di dalam kereta Volkswagen Polo bersama tiga lelaki yang ditembak mati ketika kejadian.

“Pihak kami terima laporan polis berhubung kehilangan seorang, G Moganambal, 35, yang beralamat di Taman Bayu Permai Rawang.

“Apa kami peroleh, yang mati hanya tiga orang sahaja, memang tiada wanita terbabit. Saya menafikan sekeras-kerasnya (seorang wanita ada bersama),” katanya.

Post a Comment

0 Comments