KERAJAAN Selangor terus menjalankan operasi bagi membasmi kegiatan persundalan oleh wanita warga asing di negeri itu.
Terbahru, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bertindak menyerbu dua buah rumah urut di kawasan pentadbiran mereka bagi memastikan kegiatan tidak bermoral itu dapat dihapuskan.
Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, dalam operasi yang dijalankan di Bandar Puteri, Puchong baru-baru ini, sebanyak 32 tukang urut warga asing ditahan.
Tambah Mohd Zulkurnain, premis yang diserbu menjalankan kegiatan dengan berselindung disebalik operasi spa kecantikan serta melanggari syarat perniagaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis ini tiada lesen sah dan menjalankan perniagaan urut.
"Kita ambil tindakan dibawah undang-undang kecil pusat kecantikan MPSJ 2013 dan Seksyen 79 Akta 133 iaitu membuat partition tanpa kebenaran," katanya dipetik TVS.
Susulan serbuan tersebut, MPSJ turut bertindak memecahkan partition di premis berkenaan bagi mengelakkan kegiatan itu kembali beroperasi.
"Apa yang kita faham, operasi seperti rumah urut ini tidak akan dapat lesen," tambanya.
Sebagai rekod, operasi pencegahan kegiatan tidak bermoral ini sering dilakukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak polis.
Pada Mei lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjalankan Ops Noda bagi membendung aktiviti persundalan ini.
Tindakan tegas dilakukan itu sekaligus membuktikan dakwaan kononnya kerajaan negeri bersikap tutup mata terhadap kegiatan itu sama sekali tidak benar.
0 Comments