Peralihan kuasa: Amanah nyata pendirian


SETELAH berdiam diri dalam isu jawatan perdana menteri, Parti Amanah Negara (AMANAH) menyuarakan pendirian mereka.

Timbalan Presidennya, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan bahawa parti itu terus berpegang pada pendirian bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamed.

Tegas Salahuddin, keputusan itu sudah termaktub dalam perjanjian awal Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti dipersetujui pemimpin parti dalam gabungan itu sebelum ini.

"Kita menerima Tun Dr Mahathir ketika itu sebagai pengerusi HARAPAN maka dalam perbahasan itu kita bersama-sama secara konsensus telah menulis perjanjian itu bahawa PM ketujuh ialah Tun Dr Mahathir dan PM kelapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tak timbul masalah nak fikir kembali atau kita nak membuat cadangan baru. Perjanjian itu masih kekal dan Amanah akan pastikan kita masih berpegang lagi kepada perjanjian," katanya dipetik.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit di sebuah hotel baru-baru ini.

Menurut Salahuddin, pendirian itu dilafaskan susulan ada pihak terutama di peringkat pimpinan yang mahu Amanah mengemukakan pendirian mereka berhubung isu tersebut kepada Umum.

Sementara itu tambahnya, tempoh peralihan jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir kepada Anwar sememangnya tidak dibincangkan dalam perjanjian itu.

"Tempoh itu memang kita tidak bincangkan secara spesifik, itu jelas. Tetapi menamakan perdana menteri kelapan itu jelas termaktub dalam perjanjian yang disaksikan oleh pimpinan tertinggi dalam Bersatu, Amanah, KEADILAN dan DAP," katanya
 lagi.

Post a Comment

0 Comments