INDIVIDU atau mana-mana pihak yang terus meniupkan api perkauman, bangsa atau agama harus bersedia untuk ditangkap.
Ia susulan kenyataan terbaru Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa mereka yang terlibat dalam usaha memecah belah keharmonian di negara ini bakal menerima padah.
“Saya tidak teragak-agak untuk menangkap mereka (pihak bangkitkan isu perkauman) dan memang saya akan buat (lakukan tangkapan).
“Saya bagi arahan kepada anak-anak buah saya untuk siasat kes terkelas melibatkan keagamaan dan kaum. Jangan tunggu, terus siasat dan tangkap. Saya ulang tiada lagi amaran,” kata dipetik Bernama News Channel.
Abdul Hamid sementara itu turut mengingatkan ahli politik agar menjadi pemimpin bertanggungjawab dalam usaha memelihara keharmonian negara.
Tegasnya banyak pihak terpedaya dengan agenda tertentu yang dicipta pihak-pihak tidak bertanggungjwab untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.
"Banyak kenyataan tidak bertanggungjawab dikeluarkan, sepatutnya mereka (pemimpin politik) lebih bertanggungjawab selepas kita berjaya jalankan proses demokrasi cemerlang.
“Sekarang macam porak-poranda pula. Semua kaum, orang ramai jadi takut apa yang berlaku dalam negara kita ini, biarlah bertanggungjawab.. Jangan keluarkan kenyataan tanpa guna akal fikiran, hentikan semua ini,” tambahnya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan warga maya agar tidak menjadi mangsa mainan politik pihak tertentu yang berkepentingan dengan berkongsikan apa-apa perkongsian tidak sahih berbaur perkauman di laman sosial.
“Saya nasihatkan jangan ambil tindakan yang melulu dan ikut emosi,”
“Jangan terpedaya dengan mainan politik dengan secara tidak disedari mereka terperangkap, orang yang menularkan video tidak tahu hujung pangkal, akhirnya ditahan dan didakwa," tegasnya.
Tindakan pihak tidak bertanggungjawabmenyebar sentimen perkauman, agama dan bangsa kebelakangan ini tambahnya telah mengakibatkan masyarakat keliru, takut dan negara dilihat seolah-olah porak peranda.
0 Comments