KBS jangan melulu, kerajaan dapat malu


PEMIMPIN kerajaan perlu menumpukan usaha memulihkan negara berbanding membuat tindakan retorik 'syok sendiri'.

Mereka wajar sedar bahawa sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, rakyat sudah bijak menilai dan berani mengkritik tindakan salah pemimpin kerajaan.

Kebijaksanaan itu dapat dilihat atas apa yang terjadi susulan keputusan terbahru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang meminda nama program Hari Sukan Negara 2019 kepada Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19).

Rata-rata warganet mengecam tindakan melulu itu. malah mereka berpendapat tindakan itu tidak menggambarkan cita-cita kerajaan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Seorang warganet, Mohd Afifi Afendi berkata, nama yang digunakan sebelum ini lebih sesuai, beliau turut mahu keputusan itu disemak semula.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim baru-baru ini mengumumkan pindaan nama itu yang telah digunakan sejak 2015.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu bagaimanapun berkata, keputusan tersebut bukanlah bertujuan untuk merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Ia katanya bagi memperluaskan capaian program itu yang merupakan inisiatif terbaharu KBS dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Bagaimanapun warganet melihat alasan tersebut sebagai tidak memuaskan.

"Cukup-cukuplah kerja tukar nama, penjenamaan semula je kerja Pakatan Harapan ni.

"Hari Sukan Negara di sambut di Malaysia, bukannya dekat Los Angeles. Penatlah hari-hari isu sama je Malaysia ni. Malu!" kata Muzaffar Yazid dipetik.

Keputusan kementerian itu bukan sekadar dikecam warganet, ia juga mengundang kritikan badan-badan lain.
 


Terkepung minda penjajah


Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr Mohamad Saleeh Rahamad antara yang awal menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan tersebut.

Tegasnya, setiap program rasmi kerajaan sepatutnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dr Mohamad Saleeh Rahamad
“Jika semasa rejim terdahulu menggunakan nama Fit Malaysia kini rejim baru pula menggunakan Malaysia Sports Challenge. Kerajaan sendiri merosakkan negara ini,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula dalam kenyataannya  semalam menegaskan semua kementerian serta agensi kerajaan perlu mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara.

Justeru mereka menolak keputusan meminda nama sambutan hari sukan itu.

“Bahasa kebangsaan juga adalah wahana perhubungan dan perpaduan dalam semua program peringkat jabatan, kebangsaan dan antarabangsa.

“Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hendak digunakan sebagai bahasa rasmi negara.

“Bahasa rasmi bermaksud ia digunakan dalam semua maksud rasmi meliputi wacana lisan dan tulisan pada peringkat Persekutuan, negeri, badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan (PBT),” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengingatkan pemimpin kerajaan untuk memberi teladan baik yang boleh diikuti pihak lain dalam melaksana sesuatu perkara.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata tidak dinafikan kepentingan menguasai bahasa lain.

Namun tegasnya mentaliti pemimpin yang mendahului penggunaan istilah bahasa Inggeris pada nama program rasmi kerajaan untuk dilihat ‘maju’ atau ‘komersial’ merupakan gejala pemikiran yang terjajah.

“Jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin kita menerapkan kepentingan bahasa ini kepada agensi swasta serta masyarakat terbanyak?" soalnya.

 

Post a Comment

0 Comments