Jaguh basikal negara kutip pingat


JAGUH
lumba Trek negara, Azizulhasni Awang sekali lagi membanggakan rakyat Malaysia apabila muncul juara pada acara pecut individu lelaki di Kejohanan Berbasikal Trek Asia Tenggara.

Pelumba yang popular dengan gelaran Pocket Rocketman itu menepati ramalan apabila menewaskan Jeone Park yang mewakili kelab Gyeongsangbukdo Sports Council dari Korea Selatan.

Emas untuk Azizulhasni Awang
Menurutnya, beliau sudah menjangkakan tentangan sengit pada temasya itu sebaik memasuki pusingan separuh akhir dan akhir.

"Nampak macam senang, tetapi saya sebenarnya membuatkan perlumbaan itu nampak senang. Kemenangan ini juga terhasil daripada perangkap yang saya gunakan untuk memerangkap lawan di pentas akhir, " kata pemenang pingat gangsa temasya Olimpik 2016 itu

Kejohanan Berbasikal Trek Asia Tenggara kini sedang berlangsung di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara Fatehah Mustapa membuktikan taringnya masih berbisa.

Pelumba berumur 30 tahun itu berjaya meraih perak dalam acara pecut sekaligus mencatat masa peribadi terbaiknya tahun ini.

Beliau yang digugurkan dari skuad sukan Asia terpaksa bersaing hingga ke tiga pusingan bagi menewaskan pelumba Hong Kong, Li Yin Yi dalam pusingan separuh akhir namun tewas kepada pelumba Indonesia, Crismonita Dwi Putri.

Fatehah merangkul pingat perak
"Kejayaan ini adalah pembakar semangat buat saya menjelang Kejohanan Berbasikal Asia di Korea Selatan Oktober ini.

"Di final tadi saya sudah keletihan kerana perlu bersaing tiga pusingan di separuh akhir," katanya yang kali terakhir menaiki podium pada Kejohanan Trek Asia di India tahun lalu apabila memenangi dua pingat perak," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments